oleh : GOPEY @Drs. Muhamad Sophian Nazaruddin, MA(Psy)
Pengenalan
Kanak-kanak sebagai generasi penerus sesuatu bangsa perlu mendapat perhatian yang sepatutnya dari aspek perkembangannya samada fizikal mahupun psikologikal. Dewasa ini fenomena kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam proses pembelajaran di sekolah terlihat semakin meningkat. Salah satu daripadanya adalah kanak-kanak yang didiagnosis mengalami ADD (Attention Deficit Disorder) dan ADHD (Attention Deficit Hiperactive Disorder). Ciri-ciri tingkahlaku kanak-kanak ini antaranya adalah:
- Kerap menggerak tangan atau kaki atau menggeliang-geliut di tempat duduk,
- selalu meninggalkan tempat duduk ketika di kelas,
- selalu berlari ke sana ke mari atau suka memanjat dan pada kebanyakan masa kelihatan kekok,
- kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap,
- banyak bercakap,
- sering bergerak cergas atau kerap bertindak seolah-olah “digerakkan oleh motor”,
- tempoh tumpuan yang singkat,
- sering gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta membuat kesilapan semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain,
- selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugas,
- kerap mengalami masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti,
- kerap mengelak,
- tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama (seperti kerja sekolah atau kerja rumah),
- selalu kehilangan barang (misalnya pensil, pemadam, buku atau tugasan sekolah, mainan dan sebagainya),
- tumpuan mudah bertukar dari satu aktiviti ke satu aktiviti lain,
- mudah pelupa walaupun tidak sepatutnya jika mengikut usia dan keupayaan,
- selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan,
- kurang sabar dan hadapi masalah ketika menunggu giliran,
- sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain,
- sering membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan
Rawatan Neurofeedback
Proses rawatan yang biasa dilakukan pada kanak-kanak ini pada masa ini adalah dengan menggunakan ubat-ubatan (misalnya penggunaan Ritalin) sebagai usaha untuk mengurangkan darjah aktiviti mereka. Neurofeedback dewasa ini telah menjadi satu kaedah rawatan yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang mengalami ADD/ADHD. Penggunaan teknologi canggih (komputer) sebagai media untuk melatih otak kanak-kanak ADD/ADHD yang dikatakan berada dalam keadaan ‘disregulation’ telah begitu berjaya dilakukan di Amerika dan Negara Barat lainnya.Kaedah ini dilaksanakan dengan sangat mudah dan tidak membawa sebarang kesan sampingan (side effect) kepada kanak-kanak berbanding penggunaan ubat-ubatan yang hanya memberikan kesan sementara dan kesan sampingan lainnya seperti rasa mengantuk, sakit kepada dan sebagainya. Kanak-kanak hanya diminta untuk duduk dan memperhatikan monitor komputer yang memperlihatkan suatu bentuk animasi yang sangat menarik bagi mereka. Kanak-kanak hanya diminta untuk dapat membuat pergerakan animasi berkenaan dengan menggunakan imajinasi sahaja, tanpa perlu membuat sebarang pergerakan motorik tangan mahupun kaki seperti lazimnya melakukan aktiviti permainan komputer (seperti menggunakan tetikus ataupun joystick). Kejayaan rawatan ini telah dibuktikan secara jayanya di antaranya oleh Susan Othmer dari EEG Institute di California, USA. Beliau telah melatih lebih daripada 3000 orang profesional dari berbagai negara dalam pelbagai bidang seperti, ahli psikologi, terapis, psikiatris, pekerja sosial dan profesional di bidang kesihatan mental lainnya. Penulis pula telah mendapat kesempatan untuk mengikuti kursus ini secara intensif dari beliau di California.
Penutup
Penulis berharap dapat melakukan suatu langkah awal di negara ini untuk menolong kanak-kanak bermasalah (ADD/ADHD) dengan menggunakan kaedah rawatan yang telah dibuktikan keberkesanannya. Tanpa sokongan dari masyarakat dan agensi kerajaan ianya mustahil untuk dapat diaplikasikan secara meluas. Oleh itu, tulisan ringkas ini diharap dapat membuka minda dan membawa kepada kemaslahatan masyarakat secara amnya untuk dapat membantu kanak-kanak berkenaan sebagai penerus kehidupan suatu bangsa.